Biasiswa JPA 2018 Luar Negara
Biasiswa JPA 2018 Luar Negara

TAWARAN PENAJAAN JABATAN PERKHIDMATAN AWAM (JPA) BAGI MENGIKUTI PENGAJIAN PERINGKAT PERSEDIAAN DAN IJAZAH PERTAMA DI BAWAH PROGRAM KHAS JEPUN, KOREA, PERANCIS DAN JERMAN (JKPJ) TAHUN 2018

PENGENALAN
Permohonan adalah dipelawa kepada calon-calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2017 bagi kali pertama untuk mendapatkan penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah (PBU) di bawah Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ) Tahun 2018. Program penajaan ini dibuka kepada semua pelajar lepasan SPM tahun 2017 yang berminat dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi (S&T) dan sains sosial di negara Jepun, Korea, Perancis dan Jerman. Pelajar akan ditaja untuk mengikuti program persediaan sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat diploma atau ijazah pertama di negara-negara berkenaan.

STRUKTUR PENGAJIAN PROGRAM KHAS JKPJ
Struktur pengajian bagi Program Khas JKPJ adalah seperti berikut:

Program Khas JKPJ 2018
Program Khas JKPJ 2018

Nota:
Dip : Diploma
I.P : Ijazah Pertama
Bch : Bachelor
Ma : Master
DUT : Diplom Universitaire de Technologies

Program Kejuruteraan Teknikal Jepun
Pelajar yang berjaya ditawarkan penajaan Program Kejuruteraan Teknikal Jepun akan mengikuti kursus persediaan selama 24 bulan di Pusat Persediaan Kajian Teknikal Jepun, di INTEC UiTM, Shah Alam. Pelajar-pelajar akan menduduki peperiksaan yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun (MEXT) pada akhir tahun 2 kursus persediaan.

Pelajar yang lulus peperiksaan tersebut dan memenuhi syarat kemasukan ke kolej-kolej teknikal di Jepun serta memenuhi syarat yang ditetapkan akan meneruskan pengajian kejuruteraan peringkat Diploma selama tiga (3) tahun di Kolej Teknikal di Jepun. Pelajar berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Pertama dengan tajaan JPA sekiranya menunjukkan prestasi yang cemerlang di peringkat Diploma dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh JPA serta diterima masuk ke universiti di Jepun. Tempoh pengajian bagi peringkat Ijazah Pertama di universiti di Jepun ialah dua (2) tahun.

Program Kejuruteraan dan Sains dan Teknologi (S&T) Korea
Pelajar yang berjaya ditawarkan penajaan di bawah program ini akan mengikuti program persediaan selama sembilan (9) bulan di INTEC UiTM, Shah Alam sebelum melanjutkan pengajian peringkat persediaan dan Sijil Bahasa di Seoul National University (SNU), Korea atau institusi lain yang ditetapkan oleh Kerajaan selama setahun.

Pelajar yang melepasi had kecemerlangan yang ditetapkan Kerajaan akan diserap ke dalam penajaan melalui dua (2) kaedah iaitu, pelajar yang mendapat keputusan CGPA 3.75 dan ke atas akan ditawarkan pengajian terus ke peringkat ijazah pertama selama (4) tahun dan pelajar yang mendapat keputusan CGPA 3.74 dan ke bawah akan ditawarkan pengajian ke peringkat diploma selama 2 tahun dan ijazah pertama 2 tahun. Agihan pelajar mengikut kolej perlu mengambil kira keseimbangan dari segi kaum, jantina dan negeri asal.

Program Khas Kejuruteraan Perancis
Pelajar yang berjaya ditawarkan penajaan Program Kejuruteraan Perancis akan mengikuti kursus persediaan sama ada di INTEC, UITM Shah Alam atau di UniKL Malaysia France Institute (MFI) Bangi.

Pelajar yang berjaya ditawarkan penajaan Program Kejuruteraan Perancis akan mengikuti kursus persediaan di INTEC, UITM Shah Alam selama sebulan dan seterusnya menyambung pengajian persediaan di Perancis selama 12 bulan. Prestasi pelajar semasa kursus persediaan di Perancis akan menentukan sama ada pelajar layak atau tidak untuk meneruskan pengajian peringkat Ijazah Pertama selama 5 tahun di universiti-universiti terkemuka di Perancis (Grand Ecole).

Pelajar yang mengikuti kursus persediaan di Malaysia France Institute (MFI) pula akan mengikuti kursus Bahasa Perancis dan beberapa mata pelajaran Sains dan Matematik bagi tujuan mengambil peperiksaan kursus persediaan. Selepas berjaya di peringkat persediaan dan memenuhi had kecemerlangan akademik yang ditetapkan, pelajar akan meneruskan pengajian di Institute University de Technologie (IUT) bagi memperolehi kelayakan Diplom Universitaire de Technologies (DUT).

Seterusnya pelajar akan mengikuti pengajian Diplome d’Ingenieur selama 3 tahun di Grande Ecole. Kelayakan ini memenuhi keperluan untuk tujuan pendaftaran sebagai jurutera Siswazah dengan Lembaga Jurutera Malaysia dan ianya juga dinilai setaraf dengan Ijazah Sarjana Kejuruteraan dari IPT tempatan.

Diplom Universitaire de Technologies (DUT) dari Institute University de Technologie (IUT) diiktiraf sebagai setaraf dengan Diploma Kejuruteraan dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan bagi maksud lantikan dalam Perkhidmatan Awam Malaysia.

Program Khas Sains Sosial Perancis
Pelajar yang berjaya ditawarkan penajaan Program Khas Sains Sosial Perancis akan mengikuti kursus persediaan di UniKL Malaysia France Institute (MFI) Bangi selama 22 bulan.

Prestasi pelajar semasa kursus persediaan akan menentukan sama ada pelajar layak atau tidak untuk meneruskan pengajian peringkat Ijazah Pertama selama tiga (3) ke empat (4) tahun di universiti-universiti terkemuka dalam bidang sains sosial di Perancis (Sciences Po, Grenoble Ecole de Management dan SKEMA Business School).

Program Khas Kejuruteraan dan Sains dan Teknologi (S&T) Jerman
Pelajar yang berjaya ditawarkan penajaan Program Khas Jerman akan mengikuti kursus persediaan sama ada di INTEC selama 18 hingga 22 bulan. Semua pelajar yang lulus dengan jayanya kursus persediaan seterusnya akan ditaja mengikuti pengajian peringkat Bachelor selama 3 tahun di institusi-institusi pengajian tinggi di Jerman.

Pelajar berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat Master di Jerman sekiranya menunjukkan prestasi yang cemerlang di peringkat Bachelor dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Tempoh pengajian peringkat Master adalah selama dua (2) tahun.

SYARAT – SYARAT PERMOHONAN
Calon-calon yang berminat mestilah memenuhi syarat-syarat umum dan khusus permohonan seperti berikut:

Syarat-Syarat Umum
(i) Warganegara Malaysia;
(ii) Menduduki peperiksaan SPM buat pertama kali pada tahun 2017;
(iii) Umur belum mencapai 18 tahun (19 tahun bagi pelajar peralihan) pada tahun peperiksaan SPM diduduki;
(iv) Calon hendaklah mempunyai kesihatan yang baik;
(v) Ibu dan/atau bapa dan/atau ahli keluarga tidak disenarai hitam oleh JPA atau sedang dalam tindakan undang- undang JPA; dan
(vi) Pemohon tidak menerima bantuan kewangan/ tajaan dari mana-mana agensi untuk peringkat pengajian yang sama.

Syarat Khusus
Perincian bagi syarat khusus mengikut bidang yang ditetapkan adalah seperti berikut:

1) Kejuruteraan Jepun INTEC Kod Program: JKPJ 001
2) Kejuruteraan Korea INTEC Kod Program: JKPJ 002
3) Sains dan Teknologi Korea INTEC Kod Program: JKPJ 003
4) Kejuruteraan Perancis INTEC/MFI Kod Program: JKPJ 004
5) Kejuruteraan Jerman INTEC Kod Program: JKPJ 006
6) Sains dan Teknologi Jerman INTEC Kod Program: JKPJ 007

SYARAT/ GRED MINIMUM
Mendapat sekurang-kurangnya gred A dalam tujuh (7) mata pelajaran termasuk mata pelajaran berikut:
a) Bahasa Melayu;
b) Bahasa Inggeris;
c) Matematik;
d) Sejarah;
e) Matematik Tambahan;
f) Fizik; dan
g) Kimia.

7) Sains Sosial Perancis MFI Kod Program: JKPJ 005
SYARAT/ GRED MINIMUM
Mendapat sekurang-kurangnya gred A dalam tujuh (7) mata pelajaran termasuk
mata pelajaran berikut:
a) Bahasa Melayu;
b) Bahasa Inggeris;
c) Matematik;
d) Sejarah;
e) Matematik Tambahan; dan
f) Dua (2) mata pelajaran yang lain.

MEKANISME PERJANJIAN PINJAMAN
Calon-calon yang berjaya ditawarkan penajaan di bawah program ini dan bersetuju untuk ditaja oleh JPA adalah tertakluk kepada terma ikatan perjanjian JPA seperti berikut:
(a) Pinjaman akan ditukar kepada biasiswa dan dikecualikan daripada bayaran balik sekiranya pelajar berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam; atau
(b) Bayaran balik sebanyak 25% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dalam syarikat berkaitan Kerajaan (GLC); atau
(c) Bayaran balik sebanyak 50% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dengan syarikat swasta dalam negara; atau
(d) Selain daripada keadaan seperti di atas, pelajar dikehendaki membayar balik sepenuhnya nilai pinjaman.

CARA MEMOHON
Permohonan dibuka secara atas talian (online) di http://www.jpa.gov.my atau http://esilav2.jpa.gov.my/ selama lapan (8) hari selepas keputusan SPM diumumkan. Calon boleh merujuk Frequently Ask Question (FAQ) yang dimuat naik di Portal JPA bagi maklumat lanjut berhubung program yang ditawarkan.

Calon dibenarkan mendaftar, mengemas kini/ meminda maklumat permohonan sebelum tarikh tutup permohonan. Hanya pindaan yang terkini sahaja diambil kira untuk tujuan penyimpanan data. Calon hendaklah
memastikan proses permohonan telah sempurna dengan mencetak Slip Pengesahan Permohonan Penajaan Program JKPJ Tahun 2018 sebagai bukti permohonan telah dibuat.Tawaran penajaan ini akan disiarkan melalui laman web JPA di http://www.jpa.gov.my atau http://esilav2.jpa.gov.my/

Pertanyaan mengenai program tajaan dan masalah teknikal boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-8885 3049 mulai 19 hingga 26 Mac 2018 (hari bekerja) dari jam 9:00 pagi hingga jam 5:00 petang atau kemukakan maklum balas melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di http://jpa.spab.gov.my/eApps/system/index.do.

STUDENT ASSESSMENT CENTER (SAC)
Calon yang memohon akan disenarai pendek dan dipanggil untuk menghadiri SAC. Tujuan SAC adalah bagi menyediakan profil interpersonal pelajar, menyediakan maklumat kumulatif berkenaan kompetensi pelajar bagi memilih pelajar terbaik untuk ditaja JPA.

SAC dijadualkan pada 16 April 2018 hingga 19 April 2018 di pusat- pusat yang telah ditetapkan secara Zon di Zon Tengah (Selangor dan WP Kuala Lumpur) Zon Selatan (N. Sembilan, Melaka dan Johor), Zon Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak), Zon Timur (Pahang, Kelantan dan Terengganu), Zon Sabah dan Zon Sarawak.

TARIKH TUTUP PERMOHONAN
Tarikh tutup permohonan ialah pada 26 Mac 2018 (Isnin) jam 5.00 petang. Permohonan yang diterima selepas tarikh tersebut tidak akan dipertimbangkan.

KEPUTUSAN PERMOHONAN
Keputusan permohonan penajaan Program Khas JKPJ ini dijangka akan diumumkan melalui laman sesawang http://www.jpa.gov.my atau http://esilav2.jpa.gov.my/ pada 11 Mei 2018 (Jumaat) jam 5.00 petang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here